i
Pertanyaan tipikal: Kalau kau tiada keluarga, nanti sudah tua siapa mau jaga?
Sebenarnya, ayat tanya itu tiada masalah. Nadanya hampir maksum, maksudnya pun suci. Tetapi premis di mana soalan itu diolah mengandungi unsur keraguan yang tinggi. Kenapa? Sebab ia disoal oleh si penanya dengan andaian: "Oh, aku sudah beranak pinak. Mesti hari-hari tuaku akan terjamin."
Itu satu perspektif yang khilaf, dan sangat perlu dinilai semula.
ii
Memang betul, keluarga adalah kekayaan paling berharga. Tetapi ia jarang dicari dan dikumpul oleh manusia. Kenapa? Kerana kita selalu tersihir dengan pesona dunia materi. Hingga kita hilang masa untuk mencipta harta daripada nilai-nilai kekeluargaan.
Sukacita saya mahu beri peringatan. Katakunci dalam ayat di atas adalah 'nilai' (dalaman), bukan 'kekeluargaan' (fizikal). Kita tidak mendapat 'keluarga' hanya kerana seseorang itu lahir daripada ibubapa yang sama. Atau kerana kita jatuh cinta padanya, lalu mengambil keputusan untuk berkahwin.
Kekeluargaan sejati itu terletak pada 'nilai'. Bukan hanya ikatan berciri luaran. Ia tidak terbina secara automatik semata-mata atas dasar perkahwinan atau persamaan darah daging. Keluarga yang sebenar-benarnya menuntut lebih daripada itu. Sekadar berkongsi genetik, atau sebab kita menghadiahkan ovum/sperma yang halal kepada seseorang: itu bukan jaminan mutlak kita sudah mendapat satu ‘keluarga’.
Nilai kekeluargaan boleh dibina dengan pelbagai bentuk dan cara lain.
iii
Pertanyaan tipikal lagi: Kau bila mau kahwin? Siapa mau jaga kalau sudah tua?
Pertama, siapa bagi jaminan bahawa kita semua akan sempat tua? Of course, we always pray for the best. Sentiasa memohon usia dipanjangkan, dan umur diberkati. Tetapi hanya Tuhan yang maha tahu apa takdir di hadapan. If He wishes, He can take us at the young age. So, why should we get overly obsessed in strategising who is going to look after us when we become old and schizophrenia? We may not even need it, in the first place.
Kedua, ikhlaskan diri dalam membina keluarga. Bukan dengan niat mahu bikin anak seramai mungkin, supaya kelak mereka boleh bergilir-gilir pelihara kita pada hari-hari tua. Who knows: you may outlive them all. Atau mungkin mereka semua akan berkahwin dengan orang Arab, lalu berhijrah ke Tabuk; dan hanya pulang ke tanahair sekali dalam setiap tiga tahun.
Tuhan adalah penjaga terbaik manusia. Jika Dia mengkehendaki, Dia boleh datangkan sesiapa saja sebagai penjaga (termasuk anak Bangla dari Lautan Hindi yang hanyut ke pantai Sabandar selepas tongkangnya pecah). Begitu juga, jika bukan atas rahmat dan izin-Nya, darah daging sendiri pun boleh buang ibubapa.
iv
Pun begitu.
Sebenarnya mencipta peluang dan menyimpan harapan (dalam konteks ini merujuk pada usaha; bercinta, berkahwin dan beranak-pinak): itu tidak salah. Kita semua memang patut ikhtiarkan sesuatu pada masa sekarang, supaya nanti ada sandaran pada masa depan.
Tetapi jangan terlalu yakin dan taksub pada perancangan sendiri. Sampai gigih sangat mahu menghakimi orang lain dengan membanding-bandingkan piawai hidup yang dipilih sendiri. Keyakinan begitu yang patut dihindari. Sila percaya ini. Kerana sifat-Nya yang kaya tanpa batasan, Tuhan ada strategi yang unik untuk setiap satu ciptaan-Nya. Justeru, tidak perlu dikepohkan sangat kenapa takdir setiap manusia berbeza-beza.
Saya tahu nada ayat di atas itu sangat Ustazah Wardina dan Ustazah Abby Abadi. Tapi apa salahnya mengulang-ulang sesuatu yang sudah klise, selagi mana ia masih relevan untuk dijadikan refleksi, kan?
iv
Pertanyaan-pertanyaan tipikal selepas ini harus diubah kepada begini:
Kau ini belum-belum mau kahwin, nanti sudah tua kalau tiada anak siapa mau jaga?
Kemudian tambah: Mari saya pinjamkan rahim isteri saya untuk kau buat anak
[Nota: jika si penanya adalah lelaki].
Atau, begini: Mari saya pinjamkan rahim saya sendiri untuk buat anak. Saya pun sebenarnya sudah lama mengidam sperma segar awak yang masih belum pernah tumpah sampai sekarang
[Nota: jika si penanya adalah perempuan].
Secara peribadi, saya fikir pertanyaan tipikal bentuk baharu di atas berciri lebih positif dan konstruktif. Sebab selain membangkitkan isu dan masalah, ia juga memberi cadangan penyelesaian yang amat praktikal.
by : Dr. Rem
Tuesday, 6 May 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment