Wednesday 11 May 2016

Sy Tag, Perkongsian yang baik...

Posted by karmilaillang at Wednesday, May 11, 2016 0 comments
Saya fikir saya perlu menulis tentang ini dan berkongsi pendapat saya. Terpulang mahu terima atau abaikan. Maaf andai mengguris sesiapa.
Niat cuma mahu sama-sama bermuhasabah.

Belakangan ini kerap saya terbaca tulisan atau komen pada media sosial yang mengkritik atau mengaibkan suami secara terbuka sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar.
"Haaaa. Abg baca ni - Suami tidak boleh guna duit isteri. Dosa! Abang tak boleh guna duit sayang lagi tau."
"Untunglah kau, ada suami kaya. Boleh beli macam-macam. Aku ni, hari raya pun baju baru sepasang je."
"Memanglah aku ada suami. Tapi makan pakai cukup-cukup je."
Apabila orang membaca tulisan dan komentar sebegini, pasti secara automatik orang akan tahu secara tersiratnya suami anda tidak mampu memenuhi kepuasan material anda, suami anda mempunyai masalah ekonomi, suami anda bergaji kecil, dan seumpamanya.

"Rahsia lelaki hebat di ranjang!" Tag suami.
"Suami perlu penuhi nafkah batin isteri." Tag suami.
"Petua memuaskan isteri." Tag suami.
Secara tidak langsung, orang akan dapat meneka suami pasangan itu bermasalah dari segi tertentu, batin misalnya.

"Saya harap suami saya akan jadi seperti suami orang lain. Rajin solat dan menjadi imam saya."
"Suami aku tak macam suami orang lain. Hampeh!"
"Kalaulah dulu aku kahwin dengan boyfriend lama aku, tentu aku dah hidup senang sekarang."
Nampak tidak mesej tersiratnya? Suami malas solat? Suami tidak membahagiakan kalian? Sebagai orang yang membaca, ramai yang dapat meneka. Malunya suami. Dosanya isteri. Nauzubillah.

Jika benarlah suami mempunyai kelemahan, jangan dihebahkan kepada dunia. Tutup aib mereka. Bantu suami menjadi lebih baik. Gunakan kelembutan seorang isteri untuk bercakap yang baik-baik kepada suami.

Begini.
Wanita memang fitrahnya gemar beremosi. Lepas laku dan lepas tutur kata. Pendek kata, acapkali emosi mendahului akal. Ya, wanita begitu. Sebagai wanita, saya mengakui itu.
Tetapi, ingat! Seemosi apapun kita, suami tetap perlu dijaga maruahnya. Selagi mana suami tidak membelakangkan agama, kita wajib mentaati suami.

Lupakah kita, wanita juga mempunyai seribu satu macam karenah? Wanita juga tidak sempurna. Kalaulah mulut dan tangan suami selaju mulut dan tangan wanita, pasti media sosial penuh dengan segala macam kritikan suami kepada isteri.

Isteri selalu marah-marah. Isteri selalu membebel. Isteri bau bawang. Isteri kuat berpeluh. Isteri kuat berdengkur. Isteri mengada-ngada. Isteri tak faham tugas suami. Mekap isteri macam tepung sekilo. Isteri dah gemuk. Isteri tak pandai berfesyen. Dan seumpamanya.

Macam-macam yang suami boleh tulis tentang isteri. Tapi jarang sekali suami menulis sebegitu. Kerana mereka menjaga aib dalam rumahtangga. Mereka menjaga maruah keluarga. Mereka tidak mendahulukan emosi dalam berumahtangga.

Tapi wanita? Muhasabah semula. Berapa banyak tulisan dan komentar kita yang menjurus kepada keaiban suami? Ingat, redha Tuhan terletak juga pada redha suami.

Jangan hebahkan masalah rumahtangga secara melulu tanpa berfikir terlebih dahulu. Apalah dosa suami tidak mampu membelikan pakaian jenama terkemuka atau beg tangan mewah? Apalah dosa suami bekerja mencari rezeki yang halal?

Janganlah suami diperli dan dijadikan bahan gosip sesama rakan. Asalkan mereka masih menjalankan tanggungjawab asas sebagai suami, bersyukurlah.

Masalah ekonomi suami. Masalah suami sibuk. Masalah suami tidak romantik. Seribu satu masalah lainnya. Jangan hebahkan pada dunia. Dunia cuma akan mendengar, dunia sekadar menyibuk mahu tahu masalah kalian, tetapi sebenarnya mereka tidak membantu atau menyelesaikan apa-apa.

Jangan kerap menyindir mengutuk suami di media sosial. Dosanya tidak tertanggung di akhirat kelak.

Apabila saya menulis sebegini, saya berharap niat saya tidak disalaherti.
Jangan pula menyuruh saya menutup akaun media sosial semata-mata kerana isu ini. (Yalah, kata mereka, "Suka hatilah nak tulis apapun, media sosial aku. Kau tak suka, boleh tutup akaun kau atau unfriend aku!")

Tidak boleh begitu.
Baca semula surah Al-Asr. Bukankah kita perlu berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran?

Alangkah indahnya wanita sebagai isteri berusaha menjaga maruah suami.
Cadangan saya, jika suami bermasalah ekonomi, terlalu sibuk, jarang membawa isteri membeli-belah, dan sebagainya, luahkanlah secara bersemuka. Jika ada tips atau kisah pengajaran rumahtangga lain, hantarkan mesej tersebut kepada suami secara personal agar mereka membacanya bersama. Itu lebih berkesan. Jika malu meluahkan perasaan atau masalah kepada suami, hantarkan mesej melalui telefon atau peti mesej media sosial suami.

Ingat. Dalam dunia tanpa sempadan ini, setiap tulisan dan komentar kita boleh diinterpretasi oleh orang lain dalam pelbagai sudut dan cara. Sesiapa sahaja boleh meneka apa-apa. Sesiapa sahaja boleh berspekulasi apa-apa.

Jangan malukan suami. Jaga maruah mereka. Syurga isteri ada pada suami.
Lautan mana yang tidak bergelora? Dunia bukan syurga. Masalah ada di mana-mana. Terimalah kelemahan pasangan kita. Jangan aibkan suami. Sama-samalah berusaha mengejar syurga.

"Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain, tentu aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya." -Hadis riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Kuat sangat engko ni...

Posted by karmilaillang at Wednesday, May 11, 2016 0 comments
Kadangkala menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan orang lain lebih baik, dari jika diberitahu pun tidak dihiraukan.
Atas alasan dah biasa;
marah diam-diam, nangis pelan-pelan.
Hai lah hati, gagah sebenarnya kau ni kan.




 

Anugerah Cinta Copyright © 2012 Design by Asrarqulub Arts Asrarqulub Arts