Thursday, 15 May 2014

Cerita tentang guru lagi......menjelang hari guru

Posted by karmilaillang at Thursday, May 15, 2014



PBS. Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sistem ini telah dicanangkan dengan cantik oleh pihak kementerian. Tetapi pengisian dan pelaksanaannya amat bermasalah. Kelam kabut. Seolah kita tidak mengkaji dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk mengaplikasikannya.

Seribu satu keluhan dan kemarahan disuarakan oleh guru-guru. Bukan kerana tidak mahu melaksanakan kerja. Tetapi kerana kepincangan PBS itu sendiri yang akan memberi kesan kepada sekolah, anak-anak dan ibu bapa. Maka, semua pihak perlu ambil peduli. Hal ini melibatkan masa depan anak-anak kita.

Pembinaan instrumen. Tidak wujud keseragaman. Instrumen dibina oleh guru berdasarkan deskriptor yang ditetapkan. Kualiti instrumen tidak terjamin. Kesahan dan kebolehpercayaan soalan penilaian amat rendah. Malah guru-guru boleh membeli instrumen yang sudah sedia ada di pasaran. Pihak kementerian tidak memantau pun instrumen yang digunakan. Murid-murid mungkin boleh membeli instrumen yang digunakan oleh guru di mana-mana kedai buku. Soalan pentaksiran juga boleh dijangka oleh murid. Panduan dokumen standard yang wajib dinilai oleh guru boleh diakses sesiapa sahaja. Murid boleh mengagak soalan yang akan dinilai berdasarkan dokumen terbabit.

Pentaksir. Guru-guru menjadi pentaksir atau penilai sepenuhnya terhadap murid. Masalah timbul apabila guru bukan opsyen terpaksa mengajar sesuatu subjek dan terpaksa menaksir murid tersebut. Contohnya, Cikgu beropsyen Sejarah yang terpaksa mengajar Geografi diminta mentaksir murid bagi subjek Geografi. Maka, keraguan terhadap pentaksiran oleh guru terbabit mungkin timbul kerana guru tersebut bukan 'ahli' atau bukan 'pakar' dalam subjek terbabit. Ini ditambah lagi dengan bilangan guru yang tidak mencukupi, sehingga terdapat guru yang terpaksa menaksir ratusan murid dalam satu-satu masa bagi satu-satu subjek.

Sistem. SPPBS amat bermasalah. Sekiranya sistem atas talian ini diakses oleh ramai guru, sistem ini akan menjadi sangat perlahan dan 'pening'. Data yang diisi hilang atau perlu direkod berulang kali. Sistem juga sering tidak dapat ditembusi. Guru-guru berjaga malam dan berusaha memasuki sistem tanpa mengira masa. Rekod penilaian dan pencapaian yang hendak diisi dalam sistem atas talian ini sangat banyak, melibatkan ratusan atau ribuan murid bagi pelbagai subjek. Contohnya, seorang guru yang mengajar 9 kelas dengan purata 35 orang murid setiap kelas perlu memasukkan pencapaian 315 murid dalam satu-satu masa. Pencapaian pula perlu diisi sepanjang tahun; berkali-kali.

Dokumentasi. Guru dikehendaki mengisi bukti kerja murid ke dalam fail dan mengemaskini pada setiap masa. Masukkan pertaksiran terkini dan terbaik ke dalam fail murid, keluarkan pentaksiran yang lama; proses ini dilakukan bagi setiap murid untuk setiap subjek. Proses ini berjalan sepanjang tahun. Mesyuarat PBS juga wajib dijalankan hampir setiap bulan, disertai dengan minit, jadual pengoperasian, dan lain-lain. Sukatan perlu dihabiskan. PBS wajib dijalankan. Maka yang lelah adalah guru dan murid.

Kekeliruan maklumat. Pelbagai pihak memberi maklumat yang berbeza. Contohnya, jurulatih A menyatakan A. Jurulatih B pula memberi penerangan berbeza. Perbezaan pendapat dalam pembinaan instrumen, cara pengujian murid, dokumentasi, sistem pentaksiran sering berlaku. Sehingga guru sebagai pelaksana pening lalat, mazhab mana yang perlu dipegang dalam pelaksanaan PBS ini. Sini kata lain. Sana kata lain. Mangsa? Guru dan murid.

Banyak lagi masalah dan kelompongan dalam pelaksanaan PBS ini. Sukar untuk dijelaskan terperinci lewat status ini. Saya memuji keprihatinan serta semangat pihak kementerian dalam melakukan transformasi. Tetapi pelaksanaannya sangat caca merba. Seolah ini adalah sistem tergesa-gesa. Sistem yang kurang penyelidikan barangkali dan dieksperimenkan kepada murid. Cantik di atas kertas sahaja. Indah khabar dari rupa.

Semoga kemelut berkaitan PBS akan dapat diselesaikan dengan baik.

PBS; sudah cukup cukup sudah!


by : Some One :)

0 comments:

Post a Comment

 

Anugerah Cinta Copyright © 2012 Design by Asrarqulub Arts Asrarqulub Arts