Sebentar tadi saya singgah ke sebuah surau untuk menunaikan solat Maghrib.
Keadaan telekung bersepah, tidak dilipat malah diampai begitu sahaja. Dan ini bukanlah satu situasi yang asing di kebanyakan surau/ masjid di Malaysia. Acapkali perkara sebegini terhidang di depan mata.
Inilah salah satu masalah sikap segelintir kaum perempuan. Malasnya bukan kepalang, hatta lipat rapikan telekung pun mengharapkan orang.
Usai menggunakan telekung surau/ masjid, hanya segelintir sahaja yang melipatnya/ menggantungnya dengan rapi, segelintir lagi cuma tahu pinjam dan guna, kemudian sepah dan ampaikan di mana-mana. Sehingga akhirnya telekung berbau dan agak kotor.
Telekung dipinjamkan percuma, itu pun susah mahu dijaga.
Kita semua tahu kebersihan itu sebahagian daripada iman. Jangan tahu sahaja, tetapi mengaplikasikannya tidak mahu. Sekalipun dalam keadaan tergesa-gesa, kemaskanlah telekung yang sudah diguna, rapikan sejadah seeloknya. Ingatlah, menjaga kebersihan itu tuntutan agama.
"Diriwayatkan dari Sa'ad bin Abi Waqas dari ayahandanya, dari Rasulullah s.a.w : Sesungguhnya Allah SWT itu suci dan menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah tempat-tempatmu." - Hadis Riwayat Tirmizi.
Maka, berubahlah!
by : Siti Habibah
1 comments:
sakitnya mata tengok situasi mcm tu..kn lebih baik kalau kemas cantik2..Islam itu indah dan sukakan keindahan..
Post a Comment